Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi, 26 Julai 2018 – Masjid antara institusi terpenting dalam membangunkan modal insan. Rumah Allah itu juga menjadi jambatan yang dapat mengukuhkan ukhuwah, persefahaman, keharmonian, keadilan dan keilmuan kepada umat Islam.

Pada zaman Rasulullah SAW, masjid berperanan sebagai pusat pentadbiran, markas tentera, gedung ilmu pengetahuan, pusat ekonomi, sumber bantuan dan pertolongan. Institusi itu juga berperanan sebagai tempat perlindungan dan berteduh, pusat kegiatan masyarakat dan dakwah Islam, pusat yang menghubungkan antara manusia dengan manusia dan juga manusia dengan Penciptanya.

Justeru dalam mendepani era globalisasi yang menuntut perubahan tinggi dan bersifat proaktif, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) menerusi Kluster Sains Dakwah dan Pengurusan Masjid telah menganjurkan Kursus Pengurusan Kewangan Masjid yang Efektif pada 25 dan 26 Julai 2018 bertempat di ILIM Bangi bagi memberi kesedaran mengenai amanah dan ketelusan dalam pengurusan kewangan masjid.

Kursus ini dihadiri seramai 27 orang peserta terdiri dari penjawat awam dan juga mereka yang bertugas di masjid-masjid seluruh Malaysia. Melalui aktiviti dan program yang dibincangkan ini, pengurusan masjid diharap dapat melalui tahap perubahan yang memberangsangkan ke arah mewujudkan masjid inovatif, meningkatkan kemampuan dalam pengurusan kewangan masjid dan menyelaras pengurusan kewangan masjid mengikut standard piawaian yang ditetapkan.

kew masjid1

kew masjid2

kew masjid3