Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

BANGI, 11 April 2019 – Kluster Kepakaran Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI), telah menganjurkan Kursus Kemahiran Runding Cara Kekeluargaan Islam (Pelan Operasi Latihan) S41 pada 9 hingga 11 April 2019 di Bilik Ibnu Khaldun, ILIM Kampus Utama.

Kursus tersebut bertujuan memberi pendedahan berkaitan pengurusan runding cara kekeluargaan Islam, meningkatkan pengetahuan dan kefahaman peserta berkaitan teori serta pendekatan kaunseling syarie merangkumi aspek fiqh, undang-undang keluarga Islam serta pengurusan nikah, cerai dan rujuk. Kursus ini juga diadakan bagi meningkatkan kemahiran peserta dalam mengaplikasikan teknik-teknik kaunseling syarie di samping melahirkan pegawai yang kompeten dalam bidang runding cara kekeluargaan Islam.

Seramai 22 orang pegawai hal ehwal Islam gred S41 telah menyertai kursus tersebut dan mendapat bimbingan daripada Puan Yuhaniz binti Mohd Yusop, pegawai dari JAKIM, YBhg. Dr. Md Noor Saper dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan perunding latihan yang juga merupakan kaunselor di ILIM Kampus Utama iaitu Cr. Syahriah binti Yatim Mustafa.

Dalam program ini, peserta telah diberi pengenalan mengenai runding cara keluarga, peranan perunding cara keluarga dan isu-isu berkaitan, pendekatan kaunseling syarie dan kemahiran dalam runding cara keluarga.

Layari Sistem Maklumat Latihan Bersepadu ILIM di itis.islam.gov.my untuk mendapatkan info lanjut mengenai latihan yang ditawarkan di kampus-kampus ILIM seluruh Malaysia.

 runding cara keluarga islamPOL S41