Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

BANGI, 5 Mac 2020 - Bertemakan "Menggapai Al-Falah”, Institut Latihan Islam Malaysia, Kampus Utama ILIM melalui Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam (KKKI) telah menganjurkan Muhadharah Perdana ILIM 2020 bertempat di Dewan Datuk Mohd Shahir, ILIM, Bangi, Selangor.

Seramai 205 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi agama iaitu Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Jakim dan Kader Jakim di Kementerian telah menghadiri muhadharah pada kali ini. Turut hadir Ketua-Ketua Jabatan/Agensi Negeri dan Pengarah-Pengarah Bahagian Jakim.

Muhadharah ini merupakan salah satu program anjuran ILIM yang bertujuan untuk memberi peningkatan motivasi kecemerlangan dalam aspek pengurusan dan kepimpinan kepada penjawat awam. Muhadharah ini telah disampaikan oleh YBhg.Prof Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan, Fellow Tertinggi JAKIM.

Beberapa kriteria telah digariskan oleh YBhg. Prof. Kamal untuk mencapai Al-Falah dalam kehidupan seorang mukmin, antaranya ialah:

  1. Khusyuk dalam solat iaitu merasai akan kebesaran Yang Maha Esa atas segala nikmatNya, memperhambakan diri kepada Yang Maha Esa agar segala kebaikan diterima olehNya.
  2. Menjauhi diri daripada melakukan sesuatu perkara yang tidak berfaedah iaitu apa sahaja perbuatan yang sia-sia mestilah dijauhi sama ada yang lahiriah mahupun batiniah.
  3. Mengeluarkan zakat iaitu membersihkan semua perkara yang ada pada diri seseorang itu sama ada zakat secara lahiriah atau pun batiniah agar kejayaan dapat dicapai.
  4. Menjaga kehormatan iaitu memelihara maruah diri daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Islam sama ada melanggar etika seksual, pergaulan bebas dan memiliki akhlak yang tidak baik.
  5. Menjaga amanah yang dipertanggungjawabkan dari pelbagai aspek agama, negara, masyarakat dan keluarga.
  6. Menjaga solat iaitu solat mempunyai hubungan rapat antara hamba dan penciptaNya dalam konteks memperoleh semangat untuk bergerak maju menuju kejayaan dunia dan akhirat.
  7. Menunaikan amanah dan janji kerana ia adalah satu kewajipan bagi memelihara amanah kepada Allah, manusia dan alam sekitar. Orang yang mengkhianati amanah dan janji adalah orang yang munafik.

Setinggi-tinggi ucapan penghargaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini. Semoga penganjuran program ini akan menjadi satu lonjakan ke arah mempertingkatkan kecemerlangan diri seseorang dalam mencapai al-Falah dalam seluruh aspek kehidupan sama ada sebagai hambaNya yang patuh atau sebagai khalifah yang mentadbir sesebuah organisasi dengan berlandaskan nilai-nilai beragama dan prinsip-prinsip syariah yang telah digariskan.

Muhadharah Perdana ILIM 2020 Menggapai Al Falah 1

Muhadharah Perdana ILIM 2020 Menggapai Al Falah 5

Muhadharah Perdana ILIM 2020 Menggapai Al Falah 6

Muhadharah Perdana ILIM 2020 Menggapai Al Falah 9

Muhadharah Perdana ILIM 2020 Menggapai Al Falah 10