Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi, 6 Ogos  - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah mengadakan Persidangan Meja Bulat (RTD): Pemerkasaan Orang Kurang Upaya (OKU) Rabbani Peringkat Kebangsaan pada 5 dan 6 Ogos 2020 bertempat di Dewan Datuk Mohd. Shahir, ILIM Kampus Utama, Bangi Selangor.

Persidangan ini diadakan bertujuan memperkasa masyarakat melalui institusi pentadbiran Islam agar cakna OKU dan mengupayakan komuniti OKU dalam merealisasikan konsep indahnya hidup bertuhan. Selain itu, ia juga menjadi asas keadilan dan kesejahteraan kepada OKU dalam semua aspek kehidupan dengan mengutamakan nilai-nilai berasaskan Maqasid Syariah melalui pendekatan libatsama antara masyarakat dengan komuniti OKU menerusi peranan institusi-institusi agama. Objektif persidangan adalah :

i.      Mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai kewajipan menunaikan hak beragama dalam kalangan OKU;

ii.    Mewujudkan peluang dan akses kepada OKU menikmati hak secara adil menerusi program Pendidikan Islam inklusif dan hak di bawah peruntukan undang-undang syariah; dan

iii.   Memperkasa penyelidikan dan inovasi ke arah meningkatkan keupayaan komuniti OKU dalam menghayati ajaran Islam.

Perbincangan dalam persidangan ini dilaksanakan melalui tujuh kluster iaitu Kluster Dakwah dan Advokasi, Kluster Perkhidmatan Sokongan & Penglibatan Masyarakat, Kluster Pendidikan Islam, Kluster Pembangunan Sumber Manusia, Kluster Syariah & Kehakiman, Kluster Kekeluargaan Islam dan Kluster Penyelidikan & Inovasi.

Persidangan ini dihadiri oleh wakil agensi-agensi kerajaan iaitu agensi di bawah Menteri, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seluruh Malaysia.

Penutupan persidangan ini dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Wan Mohamad bin Sheikh Abd. Aziz, Setiausaha Politik Yang Berhormat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri. Semoga persidangan ini berjaya mencapai impak yang diharapkan untuk direalisasi dalam masyarakat dan komuniti OKU di Malaysia.