Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

26 Oktober 2020 – Komunikasi secara asasnya melibatkan proses seorang penyampai, penghantaran mesej serta penerima maklumat. Dalam konteks dakwah, pendakwah berperanan sebagai komunikator risalah Islam. Untuk menyampaikan risalah Islam, penguasaan bahasa dijadikan sebagai instrumen utama dari aspek komunikasi lisan. Hakikatnya, penggunaan bahasa dakwah berperanan dalam kehidupan manusia sebagai makhluk sosial. Malah, bahasa mampu membawa pengaruh besar kepada kejayaan dakwah.

Oleh yang demikian, bagi memantapkan bahasa dakwah di kalangan para da’ie, Institut Latihan Islam Malaysia, Kampus Lawas telah mengadakan Kursus Bahasa Etnik Sarawak iaitu Bahasa Iban.  Kursus yang diadakan selama sehari itu telah dihadiri oleh para kader JAKIM Daerah Lawas dan Limbang serta Guru-Guru KAFA terpilih sebagai usaha untuk memantapkan penguasaan bahasa etnik Sarawak di kalangan peserta.

Dalam ucapan perasmian yang disampaikan oleh Pengarah ILIM Kampus Lawas, Ustaz Sheikh Hadzrei Adam bin Seberi, beliau amat bangga dengan pencapaian peserta kursus pada kali ini.  Ini dibuktikan dengan penguasaan bahasa iban yang disampaikan oleh pengacara majlis sepanjang majlis perasmian berlangsung. Dalam masa yang sama, pengarah kampus juga berkesempatan untuk  menyampaikan sijil kursus kepada peserta dan berharap ilmu yang dipelajari sepanjang kursus dapat dimanfaatkan bermula dari keluarga dan kawan rapat.