Kurator Berita : Darul Quran

Persidangan Pengetua-Pengetua Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Peringkat Kebangsaan kali ke-30 telah diadakan di  Hotel Brasmana Kuala Perlis, Perlis bermula 2-4 Disember lalu. Persidangan  yang diadakan secara dwi tahunan ini telah dirasmikan oleh Dato’ Azam bin Rashid, Pengarah Yayasan Islam Perlis

Semasa merasmikan persidangan ini oleh Dato’ Azam bin Rashid menyatakan bahawa prospek pendidikan tahfiz di Malaysia ini semakin berkembang pesat dan mendapat tempat di kalangan masyarakat pada hari ini. Menurut beliau lagi institusi tahfiz menjadi semakin penting dan mampu menandingi institusi pendidikan yang lain terutama dari sudut penawaran kursus-kursus yang berteraskan al-Quran, selain daripada hafazan al-Quran semata-mata. Menurut beliau lagi persidangan ini sangat penting bagi meneruskan kesinambungan peranan pendidik dalam memperkasa pendidikan sepanjang hayat.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Darul Quran yang telah memperkenalkan Sijil Kemahiran Malaysia Bidang Pengurusan Masjid Tahap 3 baru-baru ini. Menurut beliau, selain pendidikan agama, pendidikan yang berteraskan kemahiran harus berjalan seiring bagi membolehkan masyarakat hidup dengan lebih sempurna.

Pengarah Darul Quran, ketika menyampaikan ucapan alu-aluan merakamkan ucapan ribuan terima kasih Yayasan Islam Perlis kerana memberikan kerjasama yang amat baik bagi menjayakan persidangan pada kali ini. Beliau mengharapkan agar ahli persidangan menjadi proaktif dalam usaha memartabatkan institusi pengajian tahfiz di Malaysia.

Sepanjang persidangan ini, satu taklimat berkenaan skim latihan kemahiran telah dibentangkan oleh En. Mohd Nazir Bin Shaari, Penolong Pengarah Jabatan Kemahiran Pembangunan Kemahiran. Sementara itu, sebanyak 13 kertas cadangan dan makluman telah dibentangkan yang menyentuh secara langsung berkenaan dengan kawalan kualiti akademik, peperiksaan, pengurusan dan penyelarasan antara semua Maahad Tahfiz al-Quran Negeri serta program-program yang akan dilaksanakan pada masa akan datang.

Persidangan Pengetua Maahad Tahfiz Al Quran 1

 

Persidangan Pengetua Maahad Tahfiz Al Quran 2

 

Persidangan Pengetua Maahad Tahfiz Al Quran 3

 

Persidangan Pengetua Maahad Tahfiz Al Quran 4

 

Persidangan Pengetua Maahad Tahfiz Al Quran 5

 

Persidangan Pengetua Maahad Tahfiz Al Quran 6

 

Foto: Ahmad Buhairi Nawawi