Kurator Berita : Unit Integriti
Demi memartabatkan agenda integriti negara untuk membentuk masyarakat yang mulia dan kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, maju dan berdaya saing, satu program latihan khas telah dirangka oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia /Malaysian Anti-Corruption Academy (MACA) melalui Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC) bagi melahirkan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO). Program latihan ini dilaksanakan bagi mewujudkan CeIO yang berperanan merancang, melaksana, dan memantau keberkesanan program-program integriti di sektor-sektor awam dan juga swasta.
 
Seramai 44 orang peserta daripada Unit Integriti pelbagai agensi awam di peringkat persekutuan dan negeri, badan berkanun serta GLC dari seluruh negara telah terpilih untuk mengikuti program latihan ini bagi Siri 14 Bil. 3/2016 dan Siri 15 Bil. 4/2016 yang bermula sejak 8 Mei 2016 dan akan berakhir pada 9 Ogos 2016. Ketua Unit Integriti Jakim merupakan salah seorang peserta yang terpilih.
 
Antara komponen wajib untuk melayakkan para peserta program ditauliahkan sebagai CeIO ialah para peserta dikehendaki merancang dan melaksanakan Enhancing Integrity Project (EIP) iaitu satu projek berbentuk tanggungjawab sosial korporat kepada mana-mana komuniti bagi tujuan memupuk kesedaran dan nilai-nilai integriti dalam kehidupan seharian mereka. Justeru, satu projek EIP telah diadakan pada 22 hingga 24 Julai 2016 di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Kangar Perlis dengan tema “Memartabatkan Integriti Dalam Pengurusan Tanah”.
 
Menariknya, Tuanku Raja Muda Perlis iaitu Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizzuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, telah berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan perasmian program EIP ini. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khaleel. Majlis Perasmian ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato’ Sri Haji Mustafar bin Haji Ali, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Dato’ Abdul Wahab bin Abdul Aziz dan pengarah-pengarah jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan.
Lebih menarik lagi, Tuanku Raja Muda telah berkenan untuk menyertai acara berbasikal ‘Kayuhan Integriti’ bersama-sama peserta kayuhan dengan pengisian aktiviti iaitu program ziarah pesakit, penyampaian sumbangan wang zakat dan hamper Hari Raya Aidil Fitri kepada golongan asnaf di kawasan berdekatan.
 
Beberapa pengisian program turut diadakan khusus untuk mempromosikan pembudayaan integriti dalam kalangan masyarakat antaranya Pameran Kerjaya dan Pendidikan Integriti, Forum Perdana, pemeriksaan kesihatan dan gunting rambut percuma. Ia merupakan salah satu pendekatan mesra yang secara tidak langsung dapat memantapkan pelaksanaan integriti dalam pentadbiran awam.
 
Di samping itu, penampilan Ustaz Haslin Baharim turut menarik perhatian jemputan Forum Perdana Integriti bertajuk “Integritiku Untuk Tanah Malaysiaku” yang turut membariskan panel-panel hebat iaitu Dr. Mohd. Mizan bin Mohamad Aslam, Pengerusi Yayasan Anti-Rasuah Malaysia Negeri Perlis dan Ustaz Mohd. Shahril bin Mohd. Shukri, Pegawai dari Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Secara keseluruhannya, program EIP ini telah memberi nilai tambah kepada para peserta CeIO menjalinkan networking dan kolaborasi strategik antara semua agensi yang terlibat dalam usaha membantu kerajaan membentuk dan membudayakan nilai-nilai integriti dalam kalangan masyarakat.
 
Enhancing Integrity Project 1

Sesi memanaskan badan sebelum Flag Off ‘Kayuhan Integriti’

 
Enhancing Integrity Project 2
Tuanku Raja Muda mencemar duli meluangkan masa menziarahi pesakit di kawasan Bintong, Perlis .
 
Enhancing Integrity Project 3
Majlis penyerahan wang zakat kepada 30 asnaf di Masjid Wang Besar, Bintong Perlis
 
Enhancing Integrity Project 4
Tuanku Raja Muda Perlis berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian
 
Enhancing Integrity Project 5
Plak perasmian yang ditandatangani oleh Tuanku
 
Enhancing Integrity Project 6
Peserta Kursus CeIO bergambar bersama Tuanku.
 
Enhancing Integrity Project 7
Forum Perdana Integriti “Integritiku untuk Tanah Malaysiaku”
 
Enhancing Integrity Project 8
Barisan pemain Woodball dalam kalangan peserta kursus CeIO dan Integrity Champion.
 
Enhancing Integrity Project 9
Permainan woodball yang diperkenalkan oleh Tuanku Raja Muda