Bahagian Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM) dengan kerjasama Islamic Tourism Centre (ITC), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia telah mengadakan Persidangan Meja Bulat Imam Kebangsaan – Edisi Pelancongan Masjid pada 22 hingga 24 Februari 2016 di Hotel Pullman Putrajaya.
Persidangan ini telah disertai oleh 80 orang peserta yang terdiri daripada imam besar, imam, pengerusi masjid yang melibatkan 36 masjid pelancong. Persidangan ini telah dirasmikan pada 23 Februari 2016 oleh YB Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan & Kebudayaan Malaysia, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM telah menyampaikan ucapan aluan mewakili Ketua Pengarah JAKIM dalam majlis perasmian tersebut. Antara tetamu kehormat lain yang hadir ialah Datuk Rashidi bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Dato’ Seri Mirza Mohammad Taiyab Beg, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, En Zulkefly bin Mohd Said, Ketua Pengarah, Islamic Tourism Malaysia dan Datuk Ilyas bin Zainal Abidin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah ITC.
Objektif persidangan ini adalah bagi mewujudkan pemahaman, meningkatkan kesedaran serta keterbukaan pihak pengurusan masjid mengenai kepentingan dan manafaat pelancongan masjid sebagai satu produk pelancongan. Objektif ini selaras dengan resolusi yang telah dipersetujui semasa Konvensyen Masjid-Masjid Pelancong Malaysia pada 2 Oktober 2014 di Masjid Putra, Putrajaya, di mana masjid-masjid utama di Malaysia diberi nilai tambah sebagai masjid pelancongan bagi menyokong industri pelancongan di Malaysia.
Antara slotsepanjang persidangan ini :
i. Pelancongan Islam : Konteks Pelancongan Islam Dalam Industri Pelancongan Masa Kini.
Oleh : Dr Azrul Anaz bin Mohd Any
Pengarah Penyelidikan dan Latihan, ITC
ii. Pelancongan Masjid : Potensi Dalam Industri Pelancongan di Malaysia
Oleh : Us Hj Mohd Sofian bin Mat Ludin
Penolong Pengarah (Unit Imam) Bahagian Kemajuan Islam, JAKIM
iii. Perbincangan Resolusi 1 : Penambahbaikan Masjid Utama di Malaysia : Modul Masjid Pelancongan
Oleh : Us Hj Mohamad Zamri bin Mohamad Shafik
Timbalan Pengarah, Darul Quran
iv. Perbincangan Resolusi 2 : Sijil Eksekutif Pemandu Pelancong : Aktiviti Pelancongan Masjid Dalam SPMM
Oleh : Us Nushi bin Mahfodz
Pensyarah Kanan, Kolej Universiti Islam Selangor
Peserta persidangan juga telah dibawa melawat ke Yayasan Restu di Shah Alam, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid-Masjid Utama JAKIM dan Muzium Kesenian Islam. Lawatan ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman berkaitan pelancongan islam yang telah dilaksanakan di institusi tersebut.
Majlis penutup persidangan telah disempurnakan oleh YBhg Tan Sri Dr Ong Ho Peng, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan turut dihadiri oleh En Zulkefly bin Mohd Said, Ketua Pengarah ITC serta Dato’ Dr Abdul Kadir bin Lebai Din, Ahli Lembaga Pemegang Amanah ITC.
Bki JAKIM.








