Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

Bahagian Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) telah mengadakan Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Kedah 2017 pada 5 Mac 2017 bertempat di Dewan Utama SP Inn, Sungai Petani Kedah. Program ini telah dihadiri melebihi 900 orang peserta yang terdiri daripada imam, jawatankuasa masjid, guru takmir dan guru KAFA seluruh negeri Kedah.

Multaqa ini dimulakan dengan slot perkongsian tentang Pindaan Akta 355 yang telah disampaikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Mahamad Nasir bin Desa, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dan YBhg Dato’ Shamsul Najmi bin Shamsuddin. Majlis perasmian multaqa dimulakan dengan ucapan aluan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dalam ucapannya, beliau menasihatkan kepada para peserta supaya sentiasa peka kepada isu-isu semasa berkaitan dan sentiasa berwaspada dengan isu-isu yang ditularkan di media sosial dengan meneliti dan cuba mendapatkan pengesahan suatu berita yang diterima. Mutakhir ini, para murabbi perlu lebih peka, bijak dan berinformasi seiring dengan kepesatan kemajuan teknologi maklumat. Pengetahuan adalah pemacu utama dalam pembangunan sesebuah negara yang memberikan kita kuasa untuk mengatasi cabaran-cabaran masa kini dan akan datang sejajar dengan aspirasi negara untuk berubah menjadi masyarakat berpengetahuan. Peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dan institusi-institusi agama yang lain dalam mengurus hal ehwal masyarakat Islam dilihat semakin mencabar. Tanpa institusi-institusi ini kemungkinan masyarakat Islam boleh berpecah. Oleh yang demikian, pihak Kerajaan meletakkan harapan yang besar kepada para murabbi yang akan melaksanakan tugas sebagai pembimbing, pendidik serta ejen perpaduan, penyalur budaya dan ilmu yang baik dan tepat kepada masyarakat.

Seterusnya ucapan perasmian oleh YAB Dato’ Seri Diraja Ahmad Bashah bin Md. Hanipah, Menteri Besar Kedah Darul Aman. Dalam ucapan perasmiannya, beliau juga turut menekankan bahawa umat Islam perlu bersatu dan jangan membenarkan perbezaan politik memecah-belahkan hubungan sehingga membawa kepada permusuhan sesama sendiri. Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kekuatan ukhuwah Islamiah dan perpaduan perlu dipertahankan oleh seluruh umat Islam.

“Justeru, saya meletak peranan yang penting kepada tuan-tuan dan puan-puan serta semua pihak termasuk golongan politik untuk kembali ke landasan yang betul supaya kita bersatu padu dalam menghadapi musuh sebenar kita iaitu penindasan dan fitnah terhadap umat Islam”.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah YB Dato’ Haji Mohd Rawi bin Haji Abd. Hamid, Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Kedah Darul Aman dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, YBhg Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), YBhg Dato’ Hajjah Nafisah binti Haji Abdullah, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Kemuncak bagi program Multaqa Murabbi Ummah 2017 Peringkat Negeri Kedah tersebut ialah dengan penyampaian replika cek peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi bayaran imbuhan imam, elaun guru takmir, guru KAFA dan PPMD sebanyak RM 49,399,488.00 serta RM 466,500.00 secara one off kepada siak seluruh negeri Kedah.

 

1

 

3

 

4i

 

5ii

 

6i

 

7i

 

8i