VISI
Peneraju Pengurusan Pendidikan Islam di Malaysia
 
 
MISI
Memperkukuhkan Tadbir Urus Pendidikan Islam Melalui Pendekatan Rahmah Ke Arah Kesejahteraan Ummah
 
 
FUNGSI
  1. Membangun dan menyelaras program KAFA, sekolah agama, pondok dan tahfiz.
  2. Membangun kurikulum KAFA, sekolah agama, pondok dan tahfiz.
  3. Mengurus dan menyelaras penerbitan buku teks KAFA, sekolah agama, pondok dan tahfiz.
  4. Menyelaras dan melaksana latihan pendidikan KAFA, sekolah agama, pondok dan tahfiz.
  5. Menyelaras dan menggubal soalan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) serta pelaksanaannya.
  6. Mengurus agihan peruntukan elaun guru KAFA, bantuan selenggara dan naik taraf sekolah agama, pondok, tahfiz dan bantuan per kapita murid berdasarkan peruntukan yang diberikan.
 
OBJEKTIF
  • Memastikan tadbir urus Pendidikan Islam kompeten dan efisien.
  • Memartabat dan mengarusperdanakan Pendidikan Islam.
  • Melahirkan generasi khaira ummah yang seimbang duniawi dan ukhrawi.
     
fadzli
Assalamualaikum Wrh. Wbt.

Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta sahabat Baginda.

Menyelaras pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia dalam bidang Pendidikan Islam merupakan salah satu fungsi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang diurussetiakan oleh JAKIM. Justeru, penyusunan semula JAKIM pada 1 Disember 2018 dengan mengembalikan Bahagian Pendidikan sebagai entitinya yang tersendiri amat bertepatan dengan fungsi JAKIM dalam memastikan aspek penyelarasan Pendidikan Islam dapat diurus dengan lebih berfokus dan berkesan. Dari segi operasinya, Bahagian Pendidikan bertanggungjawab melaksanakan operasi Pendidikan Islam di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) merangkumi aspek pengurusan KAFA dan pengurusan Sekolah Agama.

Sejak pelaksanaannya pada tahun 1990, sumbangan KAFA dalam membentuk kemenjadian murid yang seimbang duniawi dan ukhrawi sememangnya tidak dapat dinafikan. Justeru, bagi memastikan program KAFA kekal relevan serta dapat memenuhi keperluan semasa, JAKIM dengan kerjasama Agensi Pelaksana KAFA Negeri sentiasa melakukan penambahbaikan yang berterusan. Antaranya dari aspek pemakaian kurikulum KAFA dan buku teks KAFA yang seragam mengikut kohort mulai tahun 2020 dan latihan keguruan dengan melatih Guru-guru KAFA sebagai pembimbing kepada Guru-guru KAFA yang lain melalui Kursus Pemetaan Guru KAFA sebagai Jurulatih Daerah. Selain itu, KAFA turut mengorak langkah dengan membuka peluang untuk Murid Berkeperluan Khas (MBK) mengikuti Program KAFA melalui pembangunan Kurikulum KAFA MBK dan melatih Guru-guru KAFA terpilih mengikuti Kursus Kejurulatihan Guru Pendidikan Khas KAFA.

Dari aspek pengurusan Sekolah Agama, Bahagian Pendidikan berperanan melaksanakan fungsi LEPAI dalam menyelaras pendidikan agama Islam di seluruh Malaysia merangkumi Sekolah Agama Negeri (SAN), Sekolah Agama Rakyat (SAR), tahfiz dan pondok swasta yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN). Dalam konteks ini, Bahagian Pendidikan berperanan melaksanakan penyelarasan dengan negeri-negeri berdasarkan syor atau nasihat yang dikemukakan oleh LEPAI dalam hal ehwal berkaitan pengurusan Sekolah Agama, tahfiz dan pondok tanpa menyentuh bidang kuasa negeri. Selain itu, Bahagian Pendidikan turut berperanan mengurus pembiayaan dan bantuan kewangan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada institusi Pendidikan Islam di bawah penyelarasan LEPAI. Hal ini selaras dengan fungsi LEPAI dalam menyalurkan bantuan, pemberian atau subsidi untuk faedah institusi-institusi berkenaan.


Dalam mendepani era globalisasi yang semakin mencabar dan kompleks, pembangunan modal insan yang berkait rapat dengan aspek Pendidikan Islam terus menjadi salah satu agenda utama Kerajaan dalam melahirkan generasi pelapis yang berwibawa. Disinilah peranan kita sebagai umat Islam untuk sama-sama menyumbang ke arah merealisasikan citra masa hadapan negara berteraskan maqasid syariah dalam usaha membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara yang maju, makmur dan dinamik untuk dekad-dekad yang mendatang.


Sekian, wassalam.

MOHD FADZIL BIN ABU KASIM 
Pengarah
Bahagian Pendidikan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

November 2023
Bahagian Pendidikan JAKIM ditubuhkan pada 1 Disember 2018 selari dengan pelaksanaan penyusunan semula (redeployment) JAKIM. Sebelum ini, Bahagian Pendidikan berada di bawah Bahagian Kemajuan Islam (BKI) JAKIM menerusi Cawangan Pendidikan BKI. Penubuhan Bahagian Pendidikan JAKIM dengan entitinya yang tersendiri merupakan manifestasi kepada komitmen dan kesungguhan Kerajaan untuk melihat institusi Pendidikan Islam berada setanding dengan institusi pendidikan aliran perdana. Lebih-lebih lagi dengan trend semasa masyarakat yang kembali menjadikan institusi Pendidikan Islam sebagai pilihan utama untuk anak-anak mereka menyambung pengajian ke peringkat menengah hinggalah ke peringkat yang lebih tinggi, sudah sampai masanya agenda memperkasa Pendidikan Islam khususnya bagi institusi Pendidikan Islam di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) dilaksanakan secara lebih berfokus dan berstrategik.

Penubuhan Bahagian Pendidikan JAKIM juga bertepatan dengan fungsi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dalam menyelaras pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia dalam bidang perundangan, pendidikan agama Islam dan pentadbiran Islam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 7 Peraturan MKI. Dalam melaksanakan fungsinya, Bahagian Pendidikan berada di bawah Sektor Operasi JAKIM dan memfokuskan kepada tugas-tugas operasi yang berkait secara langsung dengan aspek Pendidikan Islam. Dengan kekuatan sumber manusia seramai 25 orang, Bahagian Pendidikan mempunyai tiga cawangan utama iaitu Cawangan Pengurusan KAFA, Cawangan Pengurusan Sekolah Agama dan Cawangan Penyelarasan Pendidikan.
Carta Organisasi Bahagian KSK