Kurator Berita : Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan & Pendakwaan Syariah
PUTRAJAYA, 5 Oktober 2021 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah telah menganjurkan Konvensyen Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia bagi Tahun 2021. Konvensyen yang dilaksanakan secara maya tersebut telah berjaya mengumpulkan seratus lima belas (115) orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie negeri-negeri.

Konvensyen dengan tema “Penguatkuasaan Jitu, Pendakwaan Padu” tersebut telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg Tuan Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim, Pengarah, Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah, JAKIM dan dirasmikan oleh YBhg Datuk Haji Abdul Aziz bin Haji Jusoh, Ketua Pengarah, JAKIM.

YBhg Datuk Ketua Pengarah JAKIM dalam ucapannya telah menegaskan bahawa Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie merupakan mereka yang dipilih oleh Allah untuk menjalankan tugas yang amat terpuji lagi mulia kerana kedua-dua perkhidmatan ini berjuang untuk menegakkan syariat Allah, menyeru kepada kebaikan, menyuruh (berbuat) yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar.

YBhg Datuk Ketua Pengarah JAKIM juga berpesan agar semua Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie dapat melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh berwibawa dan berintegriti. Selain itu beliau turut mengingatkan supaya semua Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie memahatkan niat melaksanakan tugas kerana Allah Ta’ala, mengekalkan hubungan baik antara kedua mereka, melaksanakan gerak kerja secara sistematik dan bersepadu serta mengamalkan konsep syura bagi menyelesaikan kes-kes yang complicated dan seterusnya dapat menegakkan keadilan.

Untuk rekod, sebanyak dua (2) kertas kerja telah dibentangkan dalam Konvensyen Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia bagi Tahun 2021 iaitu Isu Kalimah Allah: Implikasi Keputusan Mahkamah Terhadap Orang Islam oleh YBhg. Dato’ Haji Zainul Rijal bin Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia dan Kes Iki Putra Mubarak: Bidang Kuasa Negeri dalam Menggubal Undang-Undang Jenayah Syariah oleh YBhg. Dato’ Anas bin Ahmad Zakie, Pengarah, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara.

Penguatkuasaan Jitu Pendakwaan Padu 1

Penguatkuasaan Jitu Pendakwaan Padu 2

Penguatkuasaan Jitu Pendakwaan Padu 3

Penguatkuasaan Jitu Pendakwaan Padu 4

Penguatkuasaan Jitu Pendakwaan Padu 5