“Menyentuh Jiwa, Memperkasa Insan: Terapi Psikospiritual Islam Bantu Perkukuh Pemulihan Klien AADK”
BANTING, 30 September 2026 – Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menganjurkan Program Terapi Psikospiritual Islam (PTPI) Klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor Siri 6 Tahun 2026 bertempat di Masjid Jamek Jama'iyah, Kampung Morib, Banting, Selangor.
Program yang berlangsung dari jam 7.30 pagi hingga 3.00 petang ini telah dirasmikan oleh YBrs. Ustaz Hairul Anuar bin Samingan, Pegawai Tadbir Agama, Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Langat dan dihadiri seramai 55 orang peserta.
Turut hadir ialah YBrs. Puan Norihan binti Zakaria, Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Pembangunan Sosial, yang mewakili YBhg. Dato' Marzuki bin Hassan, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM, serta YBrs. Encik Mohamed Ridzuan bin Wan Ismail, Penolong Pengarah, AADK Selangor, yang mewakili YBrs. Tuan Nazir bin Mohamad, Pengarah AADK Selangor.
Pengisian program telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Mustafidurrahman bin Mohd Syahroni, Imam Masjid Putra, Putrajaya merangkap Fasilitator KSK Care Centre.
Antara pengisian utama yang dilaksanakan ialah sesi Tahsin dan Ibadah yang merangkumi teori dan praktikal wuduk, tahsin Surah al-Fatihah, solat sunat dhuha, solat sunat taubat serta perkongsian berkaitan terapi zikir dan tazkiyatun nafs.
Pengisian ini memberi penekanan kepada penghayatan ibadah dan pengukuhan aspek kerohanian sebagai sebahagian daripada pendekatan psikospiritual dalam menyokong proses pemulihan dan pembangunan sahsiah peserta.
Dalam program yang sama, turut diadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Dapur Fidyah. Dapur Fidyah merupakan sumbangan khas dari pihak MAIS sebagai satu usaha dalam menyokong klien AADK menjalani kehidupan seharian. Gimik penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh YBrs. Ustaz Hairul Anuar bin Samingan yang diterima oleh YBrs. Encik Mohamed Ridzuan bin Wan Ismail yang mewakili AADK Selangor.
Selain itu, cenderahati daripada JAKIM telah disampaikan oleh YBrs. Puan Norihan binti Zakaria kepada YBrs. Ustaz Hairul Anuar bin Samingan sebagai tanda penghargaan atas kesudian beliau hadir dan merasmikan program di sebalik komitmen serta urusan rasmi yang lain.
Cenderahati turut disampaikan kepada YBrs. Ustaz Mohd Asyraf As'ad bin Zainuddin, Pengurus Masjid Jamek Jama'iyah, sebagai tanda penghargaan kepada pihak masjid atas kesudian menjalin kerjasama dengan menyediakan kemudahan tempat serta jamuan kepada peserta dan urus setia sepanjang pelaksanaan program.
Penganjuran PTPI ini mencerminkan komitmen berterusan JAKIM bersama agensi dan pihak berkepentingan dalam memperkukuh pendekatan pemulihan yang holistik melalui penghayatan agama, pengukuhan spiritual dan pembinaan sahsiah.
Kerjasama strategik antara JAKIM, AADK Selangor, MAIS, JAIS serta pihak masjid diharapkan dapat terus diperkasa bagi memastikan pendekatan psikospiritual Islam dapat dimanfaatkan secara berterusan dalam usaha menyantuni, membimbing dan menyokong proses pemulihan klien AADK.
Semoga pelaksanaan program ini menjadi wadah dalam membina kekuatan rohani, meningkatkan kesedaran kendiri serta menyemai semangat perubahan positif dalam kalangan peserta ke arah kehidupan yang lebih sejahtera dan berlandaskan nilai-nilai Islam.






