Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
SESI LIBAT URUS BERSAMA SEKSYEN PENGURUSAN KAFA KELANTAN DAN JABATAN PENDIDIKAN NEGERI KELANTAN BERKENAAN CADANGAN PENYELARASAN PROGRAM KELAS AL-QURAN DAN FARDU AIN

18 Mac 2024 - Meneruskan gerak kerja Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (AL-FALAH), JAKIM melalui Bahagian Dasar Kemajuan Islam dan Bahagian Pendidikan telah mengadakan sesi libat urus bersama Seksyen Pengurusan KAFA Kelantan (SPKK) dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK) bagi membentangkan idea awal berkenaan Program KAFA Perdana dan mendapatkan syor penambahbaikan ke arah pelaksanaan di negeri-negeri.

Sesi libat urus ini dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Fadzil bin Abu Kasim, Pengarah Bahagian Pendidikan dan turut dihadiri oleh YBrs. Tuan Haji Mat Lazim bin Mohammed, Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah JPNK mewakili Pengarah JPNK , Encik Amran bin Mamat, KPPK Sektor Pendidikan Islam JPNK bersama-sama 10 orang pegawai pendidikan Islam di daerah dan 11 orang YDP Persatuan Guru Besar serta 24 orang penyelia KAFA.

Sesi pembentangan cadangan penyelarasan KAFA Perdana ke arah lima hari persekolahan dan enam jam bekerja guru telah disampaikan oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Anuar bin Abdul Rani, KPPK Bahagian Pendidikan dan sesi sumbang saran idea yang berlangsung secara aktif selama tiga jam telah berupaya mendapatkan pelbagai maklum balas daripada pihak JPNK terutamanya berkenaan cadangan peningkatan kualiti dan penganjuran kerjasama latihan guru serta cadangan elaun tambahan kepada Guru Besar. Pada masa yang sama, JAKIM juga mengambil maklum akan isu-isu yang dibangkitkan antaranya isu transisi waktu tengah hari ketika sesi persekolahan pagi tamat, jurang Guru KAFA dengan Guru Besar SK, tugas Guru Penyelaras, pelantikan Guru Besar SK sebagai Guru Penyelaras KAFA dan pembukaan baharu sesi persekolahan.

Selaras dengan objektif sesi libat urus ini, pada sebelah petang, delegasi JAKIM turut melawat dua buah sekolah iaitu SK Bemban dan SK Sabak bagi mendapatkan penerangan pengurusan KAFA di lapangan dan mengadakan pemantauan bagi melihat pematuhan Peraturan-peraturan Pelaksanaan Program KAFA Tahun 2022.

Sesungguhnya JAKIM berharap agar usaha menyelaras dan menyeragamkan Program KAFA ini mendapat kerjasama yang baik dan padu dari pihak negeri dan lain-lain pihak yang berkaitan demi menatijahkan transformasi Program KAFA yang lebih baik untuk kelangsungan Pendidikan agama anak-anak di peringkat rendah.

BDKI SPKK1

BDKI SPKK2
BDKI SPKK3
BDKI SPKK4
BDKI SPKK5