26 September 2024 - Pusat Islam Darul Quran telah mengadakan Program Penanda Aras, Lawatan ke Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn, Johor Bharu. Selain itu, lawatan turut diadakan di Singapura iaitu di Masjid Kampung Siglap Darul Quran Singapura dan Masjid Sultan sebagai pencetus idea dan ilmu baharu dalam aspek pengimarahan dan pengurusan Pusat Islam.
Lawatan ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti pengurusan dan aktiviti Pusat Islam Darul Quran agar seiring dengan trend masyarakat masa kini. Tambahan pula, jaringan hubungan antara Pusat Islam Darul Quran dan institusi masjid dalam dan luar negara juga dapat dibina bagi tujuan pembangunan ummah.
Delegasi yang dipimpin oleh Pengarah Darul Quran, Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim ini turut disertai 22 orang pegawai yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat Islam Darul Quran.
Pusat Islam Darul Quran mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan institusi masjid yang terlibat bagi menjayakan lawatan penanda aras ini. Diharapkan semua pihak dapat memperoleh manfaat daripada lawatan ini dalam usaha untuk memantapkan lagi tadbir urus khususnya bagi pihak pengurusan Pusat Islam Darul Quran.