MASJID PUTRA, PUTRAJAYA, 11 OKTOBER 2024 – YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hadir bagi merasmikan Program Executive Talk On Spiritual Care: “Healing The Soul” yang diadakan Auditorium Masjid Putra, Putrajaya. Hadir bersama YBrs. Dr. Haji Ruslan bin Said, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JAKIM, Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd. Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) JAKIM, Dr. Faridah binti Awang, Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Pengarah-Pengarah Bahagian JAKIM dan wakil ketua agensi agama.
Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia (ISM), Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bertujuan bagi meningkatkan kesedaran akan kepentingan penjagaan spiritual dalam memelihara kesejahteraan fizikal, mental dan emosi secara holistik. Seramai 300 orang peserta hadir menyertai program ini yang terdiri dalam kalangan penjawat awam dan juga NGO.
Penganjuran program pada kali ini memperkenalkan seorang speaker yang menguasai gabungan ilmu psikiatri dan spiritual iaitu Dr. Rania Awaad, Clinical Professor of Psychiatry and Behavioural Science Practices Standford Health Care California United States. Perkongsian beliau memberi pencerahan kepentingan aspek spiritual bagi melengkapi elemen Bio-Psiko-Sosial-Spiritual dalam penjagaan kesihatan fizikal dan mental.
Ucapan perasmian YB Menteri memberi peringatan supaya kita mempersiapkan diri dengan amalan yang berlandaskan iman dan akhlak mulia, yang dipandu oleh ajaran al-Quran dan Sunnah, kerana amalan ini dapat meningkatkan kecerdasan spiritual yang memberi kesan positif terhadap kesihatan fizikal, menjadikan individu yang produktif dan kompetitif serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara selaras dengan fokus Pelan Transformasi al-Falah.
Melalui penganjuran program ini, diharap dapat menyebarluaskan maklumat akan kepentingan penjagaan spiritual bagi melengkapi keperluan kesejahteraan mental dan fizikal masyarakat Madani.