12 November 2024 - Sembilan buah institut pengajian tinggi awam (IPT) awam dan swasta yang berkolaborasi bersama Darul Quran Jakim bagi Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran telah bersidang dalam Mesyuarat Penyelarasan Pensijilan Tahfiz Al-Quran JAKIM – IPT Bil 1/2024 hari ini. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Yang Berbahagia Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail bertempat di Bilik London (ba-4-30) Bangunan Pentadbiran Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Sebanyak 5 kertas laporan dari Darul Quran, 8 kertas makluman Pelaksanaan Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran di setiap institusi dan 2 kertas cadangan telah dibentangkan dalam mesyuarat ini.
Objektif pelaksanaan mesyuarat ini ialah untuk menyediakan mekanisme pengurusan dan pelaksanaan program pensijilan yang lebih selaras serta efektif. Selain itu ia bertujuan untuk memastikan pelaksanaan program pensijilan ini mematuhi peraturan serta standard yang telah ditetapkan melalui memorandum persefahaman (MoU) yang telah dipersetujui oleh pihak JAKIM dan IPT.
Melalui medium mesyuarat penyelarasan ini diharapkan IPT yang berkolaborasi dapat berkongsi pandangan serta cadangan demi pembangunan pendidikan tahfiz di institusi masing-masing khususnya dan pembangunan pendidikan tahfiz di negara ini amnya.