Kurator Berita : Bahagian Maqasid Syariah
PUTRAJAYA, 16 Jun 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus memperkukuh pemahaman terhadap prinsip Syariah dengan menganjurkan Kursus Eksplorasi Maqasid: Kupas Tuntas Buku Kaedah Maqasid Al-Shari’ah Siri 7/2025. Satu platform ilmu yang membuka dimensi baharu dalam memahami keutamaan hukum Islam secara menyeluruh dan kontekstual.

Program ini dianjurkan oleh Bahagian Maqasid Syariah dengan kerjasama Bahagian Penerbitan dan berlangsung di Perpustakaan JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya. Seramai 20 orang pegawai pelbagai peringkat pengurusan dan pelaksana JAKIM telah menyertai kursus yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 11.30 pagi.

Kursus kali ini menampilkan Ustaz Marwan Bukhari bin A. Hamid, penterjemah buku Kaedah Maqasid Al-Shari’ah, karya asal Prof. Dr. Ahmad Raysuni, sebagai penceramah jemputan. Buku ini mengandungi 80 kaedah utama dalam Maqasid Syariah dan sesi kali ini memberi fokus kepada Bab 4: Kaedah Berkaitan Pertimbangan dan Pentarjihan Antara Maslahah.

Empat kaedah utama yang dibedah secara mendalam ialah:
i. Kaedah 32 – Apabila sesuatu maslahah yang disyariatkan itu dimasuki oleh kemungkaran yang tidak diundang, maka tindakan meraih maslahah tersebut tetap tepat
ii. Kaedah 33 – Maslahah di tingkatan daruriyyat didahulukan berbanding maslahah di tingkatan hajiyyat, manakala maslahah di tingkatan hajiyyat pula didahulukan berbanding maslahah di tingkatan tahsiniyyat
iii. Kaedah 34 – Maslahah ukhrawi diutamakan berbanding maslahah duniawi
iv. Kaedah 35 – Menerima sesuatu maslahah yang mengakibatkan satu mafsadah adalah lebih utama berbanding menerima sesuatu maslahah yang mengakibatkan sebilangan mafsadah.

Kursus ini bukan sekadar medan ilmu tetapi satu langkah strategik dalam memperkasakan amalan berpaksikan Maqasid Syariah, menjadikan syariat sebagai kompas nilai dalam membuat keputusan sama ada di peringkat individu, organisasi mahupun negara.

Dengan kefahaman yang kukuh tentang neraca maslahah dan mafsadah, para peserta diyakini mampu berperanan sebagai agen perubahan yang menyemarakkan nilai rahmah, hikmah dan sejahtera dalam tadbir urus semasa dan membina kehidupan yang lebih bermakna berpaksikan maslahat umat.

Maqasid Syariah Sebagai Kompas Kehidupan 01

Maqasid Syariah Sebagai Kompas Kehidupan 02

Maqasid Syariah Sebagai Kompas Kehidupan 03