KOLABORASI PENGANJURAN KURSUS TRAINING OF TRAINERS (TOT) FASILITATOR KSKCareCentre JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR
SELAYANG, SELANGOR, 22–24 September 2026 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah menganjurkan Kursus Training of Trainers (TOT) Fasilitator KSKCareCentre JAINJ. Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini diadakan di Hotel Mercure Selayang, Selangor dan dihadiri oleh seramai 20 orang fasilitator KSKCareCentre serta pegawai JAINJ.
Penganjuran kursus ini merupakan satu langkah strategik dalam membangunkan barisan fasilitator yang kompeten, berintegriti dan mempunyai keupayaan menyampaikan khidmat sokong bantu secara sistematik, selaras dengan keperluan masyarakat yang semakin kompleks dalam berhadapan dengan cabaran kehidupan, kekeluargaan, sosial dan emosi.
Kursus TOT ini memberi penekanan kepada penguasaan tiga teras pendekatan KSKCareCentre, iaitu Kaunseling Syarie, Psikospiritual Islam dan ‘Ilaj Syarie, sebagai satu pendekatan bersepadu dalam memberikan perkhidmatan penjagaan spiritual kepada pesakit, waris pesakit dan kakitangan hospital, selain khidmat nasihat kepada masyarakat. Pendekatan ini mengambil kira dimensi emosi, pemikiran, tingkah laku dan kerohanian dalam usaha membantu individu membina kekuatan dalaman serta menghadapi cabaran kehidupan secara lebih seimbang.
Lebih signifikan, pelaksanaan TOT bukan sekadar bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta, malah menjadi platform pemindahan ilmu, pembentukan kompetensi dan penyelarasan pendekatan fasilitasi KSKCareCentre di peringkat negeri. Para peserta turut diberi peluang menjalani latihan praktikal menyantuni pesakit di Hospital Selayang.
Usaha ini turut memperlihatkan komitmen KSKCareCentre dalam memperkukuh pendekatan dakwah melalui khidmat sokong bantu, dengan menggabungkan nilai Islam, kemahiran fasilitasi dan pendekatan psikospiritual dalam mendampingi masyarakat.
Majlis penutup dan penyampaian sijil kepada peserta telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Zamri bin Kambari, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, mewakili Pengarah JAINJ. Hadir bersama ialah Puan A’azah binti Awang Kechik, Penolong Pengarah Kanan Bahagian KSK JAKIM yang menyampaikan ucapan alu-aluan. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama para peserta kursus.
KSKCareCentre akan terus memperkasa jaringan fasilitator dan memperluas pendekatan perkhidmatan secara berstruktur agar manfaat khidmat sokong bantu dapat dirasai oleh lebih ramai masyarakat, sekali gus menyumbang kepada pembentukan keluarga yang kukuh, individu yang berdaya tahan dan masyarakat yang sejahtera, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.



