Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti

Menyentuh Hati, Mengubah Kehidupan: Terapi Psikospiritual Islam Perkasa Pemulihan Klien AADK

 

KUALA LUMPUR, 23 September 2026 – Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menganjurkan Program Terapi Psikospiritual Islam Klien Agensi Antidadah Kebangsaan Wilayah Persekutuan Siri 7/2026 bertempat di Masjid Abu Hurairah, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 2.30 petang ini telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Adnan bin Samingun, Pengerusi Masjid Abu Hurairah, yang mewakili YBrs. Ustaz Ahmad Yusri bin Abdul Manap, Pegawai Tadbir Agama Zon 1, JAWI. Seramai 53 orang peserta telah menyertai program tersebut.

Pengisian program telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Farid bin Mohamad Japeri, mantan pegawai AADK dan Fasilitator KSK Care Centre. Antara pengisian utama ialah sesi Tahsin dan Ibadah yang merangkumi teori dan praktikal wuduk, tahsin Surah al-Fatihah, solat sunat dhuha, solat sunat taubat serta perkongsian berkaitan terapi zikir dan tazkiyatun nafs.

Penganjuran program ini merupakan antara usaha berterusan JAKIM dalam memperkukuh pendekatan psikospiritual Islam sebagai salah satu elemen sokongan kepada proses pemulihan klien AADK. Pengisian yang berteraskan penghayatan ilmu, amalan ibadah dan penyucian jiwa diharap dapat membantu peserta meningkatkan kesedaran kendiri, memperkukuh kekuatan rohani serta membina kehidupan yang lebih positif dan sejahtera.

Dalam pada itu, pihak Masjid Abu Hurairah turut menyambut baik pelaksanaan program seumpama ini dan mengalu-alukan jalinan kerjasama pada masa akan datang. Antara cadangan pengisian lanjutan yang diketengahkan ialah program qiamullail serta aktiviti fizikal berbentuk khidmat komuniti seperti gotong-royong membersihkan kawasan masjid dan tanah perkuburan Islam.

Kerjasama strategik antara JAKIM, AADK Wilayah Persekutuan, JAWI dan pihak masjid ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa usaha pemulihan klien secara holistik melalui pendekatan kerohanian, ibadah dan aktiviti kemasyarakatan.

Semoga kesinambungan program ini dapat terus menjadi wadah dalam menyantuni, membimbing dan memperkasa klien AADK ke arah pembentukan jati diri yang lebih kukuh serta kehidupan yang sejahtera berlandaskan nilai-nilai Islam.